Ratifikasi perjanjian antarabangsa Ratifikasi

Rencana utama: Perjanjian

Ratifikasi perjanjian antarabangsa dilaksanakan dengan memfailkan alat ratifikasi sebagaimana yang ditetapkan perjanjian. Dalam kebanyakan negara demokratik, badan perundangan memberikan kuasa kepada kerajaan untuk meratifikasikan perjanjian melalui tatacara perundangan standard (iaitu, meluluskan rang undang-undang).

Di United Kingdom, ratifikasi perjanjian merupakan Prerogatif Raja yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan British; bagaimanapun, mengikut kelaziman yang dikenali sebagai Kaedah Ponsonby, perjanjian biasanya dikemukakan kepada parlimen selama 21 hari sebelum diratifikasikan.

Di Amerika Syarikat, kuasa mengikat perjanjian ialah satu usaha terselaras antara cabang Eksekutif dan Senat. Presidennya boleh membentuk dan merundingkan perjanjian, tetapi perjanjian itu perlu mendapat nasihat dan persetujuan melalui dua pertiga daripada undi Senat. Hanya selepas Senat meluluskan perjanjian bahawa Presiden boleh meratifikasikannya. Sebaik sahaja perjanjian diratifikasikan, ia mengikat semua negeri di bawah Klausa Keagungan. Sedangkan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat tidak mengundi sama sekali, keperluan untuk mendapatkan nasihat dan persetujuan Senat bagi meratifikasikan sesuatu perjanjian menyebabkan mendapatkan sokongan politik untuk perjanjian antarabangsa jauh lebih susah di Amerika Syarikat, berbanding dengan republik demokratik yang lain. Tambahan lagi, jika pelaksanaan perjanjian memerlukan peruntukan dana, Dewan Perwakilan boleh menolak, atau sekurang-kurangnya menghalang pelaksanaannya dengan enggan mengundi untuk menyokong peruntukan dana yang diperlukan.

Di Amerika Syarikat, Presidennya biasanya mengemukakan perjanjian kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri Senat (SFRC) bersama-sama dengan ketetapan ratifikasi atau ketetapan penerimaan. Jika perjanjian dan ketetapan mendapatkan pertimbangan jawatankuasa yang positif (undi jawatankuasa yang menyokong ratifikasi atau penerimaan), jadi perjanjian itu akan dikemukakan kepada Senat untuk diundi selanjutnya. Perjanjian atau rang undang-undang itu tidak berkuatkuasa sehingga diratifikasikan.

Satu perjanjian berbilang pihak boleh membenarkan penguatkuasaan sebaik sahaja ratifikasi dilakukan tanpa keperluan untuk melibatkan kesemua penandatangan.[1] Sesungguhnya, sewaktu perjanjian itu dikuatkuasakan, ia tidak mengikat para penandatangan yang masih belum meratifikasikannya. Penerimaan mempunyai kesan yang sama dengan ratifikasi di sisi undang-undang. Ia merupakan sinonim kepada ratifikasi yang telah dirundingkan dan ditandatangai oleh negeri-negeri yang lain.[2] Salah satu contoh perjanjian yang tidak diberikan nasihat atau persetujuan Senat Amerika Syarikat terhadap ratifikasi ialah Persetiaan Versailles yang merupakan sebahagian daripada ketetapan Perang Dunia Pertama.

Ratifikasi Perlembagaan Eropah

Proses meratifikasikan Perjanjian untuk membentukkan Perlembagaan Eropah - suatu dokumen perlembagaan cadangan untuk Kesatuan Eropah (EU) - berbeza dari negara ke negara; tujuh buah negara bercadang untuk mengadakan pungutan suara yang mengikat untuk menentukan keputusan, enam belas buah negara memutuskan melalui undi parlimen dan dua buah negara memilih untuk mendapatkan kelulusan Parlimen, berdasarkan keputusan referendum penasihat. Untuk mencapai keberkesanan sepenuhnya, perlembagaan perlu diratifikasikan oleh semua negara ahli Kesatuan Eropah dan juga Parlimen Eropah.

Perlembagaan telah pun diratifikasikkan oleh Parlimen Eropah dan enam belas buah negara ahli (berdasarkan parlimen empat belas negara ahli, dan referendum dua negara ahli yang lain, iaitu Sepanyol dan Luxembourg). Bagaimanapun, referendum Perancis (pada 29 Mei 2005) dan kemudiannya referendum Belanda (pada 1 Jun 2005) menolak perlembagaan itu. Selepas beberapa pengubahsuaian kecil dibuat, seperti menggugurkan label 'perlembagaan' label dan rujukan bendera, teks perlembagaan itu kemudian diterima sebagai Perjanjian Lisbon.

Ratifikasi Perjanjian Lisbon berlaku pada 3 November 2009 dengan penandatanganan Republik Czeh, selepas mahkamah perlembagaan republik itu mendapati bahawa Perjanjian Lisbon adalah serasi dengan perlembagaannya.